Muhyiddin Dan Hamzah Sama Sahaja, Cadangan BN Kerjasama PN Mengarut

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menegaskan apa jua cadangan gabungan Barisan Nasional (BN)-Perikatan Nasional (PN) untuk membentuk kerajaan baharu sudah tidak relevan lagi.

Menyifatkan ia sebagai hal yang membuang masa, Mohd Puad menambah, Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim wajar diberi peluang mentadbir negara sehingga tamat tempoh PRU ke-16.

”Isu PN-BN bergabung jika Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) tidak lagi dipimpin oleh Muhyiddin adalah mengarut. Muhyiddin dan Hamzah (Datuk Seri Hamzah Zainuddin) sama sahaja. Dua dua suka tikam belakang,” katanya mengulas kenyataan seorang pemimpin Bersatu yang mendakwa perubahan dalam kepimpinan parti itu mungkin menjadi pemangkin kepada PN untuk menawan semula Putrajaya melalui pakatan baharu dengan BN.

Kata pemimpin Bersatu yang enggan dikenali itu, PN telah terlepas peluang untuk membentuk kerajaan selepas PRU lalu kerana Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin bertegas untuk menjadi Perdana Menteri.

“UMNO tahu Muhyiddin mahu menamatkan riwayat parti itu, jadi bagaimana mereka boleh bekerjasama dengan PN?” menurut dalam parti itu.

Sumber itu berkata, ramai dalam Bersatu percaya UMNO mungkin lebih terbuka untuk bekerjasama dengan mereka jika ia dipimpin oleh pemimpin yang lebih pragmatik seperti Hamzah.

“Bersatu pimpinan Hamzah boleh bekerjasama dengan UMNO dan PAS. Kunci kepada penerimaan UMNO ialah Hamzah, yang tidak mahu ‘membunuh’ UMNO, bukan seperti Muhyiddin,” kata sumber itu yang dipetik FMT.

Mohd Puad turut menegaskan, Malaysia tidak perlu pertukaran kerajaan sebelum PRU ke-16 dan sebarang usaha ke arah itu mesti dihalang.

Ini kerana, tambahnya, UMNO bukan ‘pak turut’ dalam kerajaan baharu.

Tetapi UMNO adalah rakan kongsi yang boleh bekerjasama demi rakyat.

Latest articles

Related articles

spot_img