Muhyiddin Dalam Keadaan ‘Selesa’ Dicalonkan Sebagai PM

KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin mempunyai bilangan sokongan mencukupi daripada ahli-ahli Parlimen untuk membolehkannya dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10.

Keyakinan itu disuarakan susulan pertemuan beliau dengan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Abang Openg pada pagi tadi berhubung pembentukan kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Beliau telah memaklumkan kesediaan ahli-ahli Dewan Rakyat GPS untuk memberi sokongan dan kepercayaan kepada saya untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10,” katanya dalam satu kenyataan.

Muhyiddin juga telah mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Panglima Hajiji Noor yang turut menyatakan kesediaan ahli-ahli Dewan Rakyat GRS untuk memberi sokongan dan kepercayaan kepada beliau untuk menjawat jawatan itu.

Tambahnya, beberapa orang Ahli Dewan Rakyat lain juga telah memberikan komitmen sama.

“Sebagai Pengerusi PN, saya berkeyakinan bahawa saya akan memperolehi bilangan sokongan yang mencukupi daripada ahli-ahli Dewan Rakyat untuk membolehkan saya dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri ke-10 sepertimana yang dikehendaki oleh Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya.

BBerkaitan

Latest articles