Muhyiddin Bidas Larangan Kepada Penceramah Hanya Kerana Berbeza Politik

KUALA LUMPUR: Hanya kerana berbeza fahaman politik, tidak patut untuk menyekat dan mengenakan tindakan terhadap pendakwah untuk berceramah di masjid mahu pun dalam program di televisyen.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) , Tan Sri Muhyiddin Yassin juga mendakwa tidak wajar kepada pihak berwajib mengekang penyebaran dan pengajaran Islam berdasarkan pegangan Ahli Sunnah Wal Jemaah secara ketat sehingga menafikan mereka menimba ilmu di tempat perhimpunan.

Malah katanya, pengurusan masjid yang memilih Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid secara demokratik oleh ahli kariah juga tidak harus dipolitikkan dengan menafikan jemaah Islam menguruskan masjid mereka sendiri.

“Saya membaca berita berkenaan beberapa orang pendakwah terkenal yang dilarang memberi ceramah di masjid dan juga di televisyen. Ada juga yang video Tik Tok ceramah mereka disekat.

“Saya juga melihat video yang viral berkenaan AJK beberapa masjid di Pulau Pinang yang meletak jawatan kerana mendakwa terdapat campur tangan daripada kerajaan negeri berkenaan kedudukan mereka yang dipilih oleh ahli kariah,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Ujar Muhyiddin lagi, ramai pihak berpengaruh termasuk pendakwah bebas dan artis terkenal memberikan sokongan terbuka kepada PN.

Ujarnya, ada pihak yang menyatakan sokongan terbuka kepada parti lain termasuk Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dan itu adalah hak mereka membuat pilihan dalam sebuah negara demokrasi.

“Selepas PRU selesai, seeloknya tiada sebarang tindakan diambil ke atas mana-mana pihak yang menyatakan sokongan terbuka kepada mana-mana parti politik.

“Barulah boleh dikatakan pilihan raya di negara kita dijalankan secara bebas, adil dan kompetitif,” tambahnya.

BBerkaitan

Latest articles