KUALA LUMPUR: Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menafikan sekeras-kerasnya dakwaan kononnya partinya terlibat dalam krisis politik Perlis atau cuba melemahkan PAS, rakan sekutunya dalam Perikatan Nasional (PN).
Menurut beliau, Bersatu tidak pernah mengarahkan wakil rakyatnya menarik sokongan terhadap bekas Menteri Besar, Shukri Ramli, sebaliknya hanya mencalonkan nama selepas diminta oleh pihak Istana.
“Kami tidak terlibat dan tidak pernah berniat mengkhianati PAS,” katanya selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu.
Krisis di Perlis tercetus apabila lapan Adun PN, termasuk tiga dari PAS, menarik balik sokongan terhadap Shukri, sebelum Adun Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah, dilantik sebagai menteri besar baharu.
Muhyiddin turut menolak dakwaan beliau terlibat secara peribadi dalam krisis itu dan menjelaskan bahawa mesyuarat MPT turut membincangkan peletakan jawatannya sebagai pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari lalu.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Azmin Ali, berkata MPT menerima penjelasan Abu Bakar dan berpuas hati dengan keterangannya, sambil menegaskan Bersatu kekal setia dalam PN serta bersedia menghadapi PRU16.










