KUALA LUMPUR: Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil memberi peringatan tegas bahawa amalan hubungan sejenis bukan sahaja menolak hikmah kejadian manusia, malah mampu merosakkan struktur fitrah insan jika dinormalisasikan dalam masyarakat.
Beliau menegaskan, hubungan songsang membawa kepada kekeliruan identiti, masalah psikososial serta melemahkan sifat malu yang menjadi cabang penting dalam pembentukan iman dan akhlak.
Menurut Fauwaz, normalisasi budaya tersebut berpotensi menggugat generasi muda melalui kecelaruan identiti, keruntuhan integriti moral dan pembukaan ruang kepada maksiat lain.
Katanya, akhlak adalah teras utama kekuatan sesebuah ummah, dan kemerosotan nilai itu boleh melemahkan ketahanan moral serta spiritual masyarakat.
Dalam kerangka Maqasid Syariah, beliau menyifatkan hubungan sejenis sebagai ancaman serius terhadap pemeliharaan agama, kestabilan sosial dan kemajuan tamadun negara.
Beliau turut mengingatkan bahawa kekuatan negara tidak hanya bergantung kepada ekonomi, tetapi juga kepada institusi kekeluargaan yang sihat dan masyarakat yang memegang teguh nilai agama.
Justeru, Fauwaz mencadangkan pendekatan menyeluruh termasuk pendidikan berasaskan kefahaman syariah, pemerkasaan keluarga sebagai benteng utama, penyampaian agama secara berhikmah serta kerjasama erat antara ibu bapa, masyarakat dan pihak berkuasa.
Pada masa sama, beliau menyarankan agar dasar negara digerakkan seiring tujuan syarak bagi memelihara agama dan membina peradaban kukuh.
“Apabila masyarakat berpandukan nilai agama yang sahih, negara akan terus makmur dan dilimpahi keberkatan. Jangan biarkan budaya songsang merosakkan keamanan yang telah terbina,” katanya dalam kenyataan Tinta Mufti.
Peringatan itu hadir susulan serbuan di sebuah pusat kesihatan di Chow Kit baru-baru ini yang menyaksikan 202 lelaki ditahan kerana disyaki terbabit dalam aktiviti hubungan songsang, termasuk 103 warga Melayu beragama Islam.










