Mufti Pahang: Haji Kali Pertama Wajib Didahulukan

KUALA LUMPUR: Ibadah haji bagi kali pertama adalah wajib dan tidak boleh ditangguhkan kecuali dengan alasan yang benar-benar kukuh, tegas Mufti Pahang, Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim.

Beliau berkata, pelaksanaan rukun Islam kelima itu perlu diberi keutamaan, khususnya bagi mereka yang telah mencukupi syarat dan mampu dari segi kewangan serta kesihatan.

“Kalau haji wajib, kalau dia tak pergi, akan timbul masalah. Pelaksanaannya mesti diutamakan. Kita tak tahu kalau selepas ini ada halangan kesihatan atau kewangan, jadi wajiblah menunaikannya sekarang.

“Dalam Islam ada yang wajib dan ada yang sunat. Maka, kita mesti dahulukan yang wajib,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan, seseorang boleh menangguhkan ibadah haji bagi kali kedua dan seterusnya jika tujuannya adalah demi kepentingan yang lebih besar terhadap agama Islam.

Menurut Dr Asmadi, penangguhan seperti itu wajar, terutamanya jika ia melibatkan keperluan mendesak seperti menyokong calon Islam dalam pilihan raya yang boleh membawa kepada kepimpinan yang memartabatkan agama.

“Kalau politik itu ke arah memperjuangkan Islam, maka ia lebih utama. Pilihan raya penting sebab ia hak kita menentukan siapa pimpin negara.

“Kalau calon Islam menang, dia bantu Islam dan umat Islam. Maka itu lebih utama daripada haji sunat,” ujarnya.

Kenyataan itu hadir selepas Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, sebelum ini menyeru umat Islam agar mengutamakan kemenangan politik dengan menangguhkan hasrat menunaikan haji, termasuk mengambil ibrah daripada peristiwa Perjanjian Hudaibiyah yang menyaksikan Rasulullah SAW dihalang daripada menunaikan umrah.

Abdul Hadi menyatakan, kemenangan politik tidak boleh ditangguhkan kerana ia penting dalam memastikan kuasa Islam terus terpelihara dan berkembang seiring dengan kehendak syarak.

BBerkaitan

Latest articles