MUDA Setuju Kerjasama Dengan PH

 

 

 

 

KUALA LUMPUR: Tiga kata sepakat dicapai menerusi persetujuan MUDA bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), demikian menurut Pengarah Pilihan Rayanya, Amira Aisya Abd Aziz.

 

“Pertama, MUDA sebagai pakatan pilihan raya dengan PH sebulat suara menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri.

 

“Kedua, menerusi rundingan itu juga telah dipersetujui agar tiada pertembungan kerusi antara MUDA dan PH dan ketiga MUDA ada fleksibiliti untuk guna logo MUDA dalam PRU15,” katanya pada sidang media penamaan calon semalam .

 

Amira yang juga Timbalan Presiden MUDA berkata, berikutan fleksibiliti yang diberikan, partinya mengesahkan akan menggunakan logo MUDA dalam PRU15.

 

Jelasnya, gabungan pakatan tersebut disambut baik oleh semua akar umbi MUDA memandangkan parti itu mempunyai visi yang sama dengan PH.

 

“Kerjasama ini adalah satu berita gembira memandangkan ini adalah kali pertama MUDA bertanding dalam PRU dan kami tekad untuk berjuang bersama berlandaskan visi yang jelas bersama PH,” ujarnya.

 

Pada 6 September lalu, Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan bahawa partinya yang dikatakan mewakili suara golongan muda telah memohon untuk menjadi sebahagian daripada PH.

 

 

BBerkaitan

Latest articles