MUDA Mahu Sertai PH

KUALA LUMPUR: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) hari ini menyuarakan hasrat untuk menyertai komponen Pakatan Harapan (PH).

Bukan sekadar untuk menang Pilihan Raya Umum ke-15 akan datang, namun menurut
Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, tujuan MUDA juga mahu menguatkan perjuangan bersama gabungan pembangkang berkenaan.

“Bukan sekadar kolaborasi dengan PH (untuk PRU-15) tapi bermula perbincangan awal untuk penyertaan blok yang stabil dengan prinsip perjuangan yang sama,” katanya ketika sidang media selepas Persidangan PRU15 parti berkenaan, hari ini.

Syed Saddiq memaklumkan pihaknya berminat mengadakan perbincangan secara rasmi dengan PH dalam masa yang terdekat.

“Perbincangan awal secara tidak rasmi tentang penyertaan MUDA ke dalam PH telah bermula beberapa bulan yang lepas selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“Perbincangan tidak bersandarkan isu kerusi tapi berkenaan kesepaduan pembangkang dalam menyertai pilihan raya.

“Ini perbincangan tidak rasmi, jadi langkah seterusnya adalah perbincangan rasmi. Itu keutamaan Muda untuk pastikan pasukan ini akan memenangi PRU dan perkukuh dan martabat rakyat,” jelas Syed Saddiq.

Syed Saddiq turut mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Raya yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden Muda, Amira Aisyah Abd Aziz.

Dalam pada itu MUDA juga menyatakan hasrat meletakkan calon di sebanyak 15 kerusi Parlimen dengan Muar akan tetap dipertahankan parti itu.

BBerkaitan

Latest articles