Muafakat Nasional Teguh Sokong Muhyiddin

Umno dan PAS yang bersama di dalam Muafakat Nasional menzahirkan sokongan penuh terhadap kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri.

Perkara itu dinyatakan dalam kenyataan bersama Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan selepas mengadakan mesyuarat khas pimpinan yang dihadiri Presiden, Timbalan dan Naib Presiden serta Setiausaha Agung kedua-dua parti.

“Muafakat Nasional sepakat memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Selari dengan keputusan itu, semua Ahli Parlimen UMNO dan PAS memberi sokongan penuh kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Isu sokongan kepada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kembali diperkatakan selepas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof, memaklumkan menerima usul undi tidak percaya terhadap Ahli Parlimen Pagoh itu, Jumaat lalu.

Usul itu dikemukakan oleh bekas Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad, pada 4 Mei lalu bawah Peraturan Mesyuarat 26(1) dibaca bersama Peraturan Mesyuarat 27(3).

Latest articles

Related articles

spot_img