Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin, menegaskan bahawa Majlis Sukan Negara (MSN) turut perlu bertanggungjawab atas kegagalan kontinjen negara mencapai sasaran empat pingat emas di Sukan Paralimpik Paris 2024.
Beliau mendakwa campur tangan MSN menyebabkan pengurusan kontinjen terganggu, dengan menyifatkan situasi sebagai “dua kapten dalam satu kapal”. Megat Shahriman berkata bahawa kerajaan dan MSN tidak sepatutnya mengambil alih tugas MPM, serta menuntut mereka bertanggungjawab atas kegagalan tersebut.
Malaysia menamatkan saingan di Paralimpik Paris 2024 di tempat ke-42 dengan dua emas, dua perak, dan satu gangsa. Pingat emas diraih oleh Cheah Like Hou (badminton) dan Bonnie Bunyau Gustin (powerlifting).
Ketua Pengarah MSN, Abdul Rashid Yaakub, menyatakan akan memberi kenyataan sebaik tiba di tanah air.
Dalam pada itu, Megat Shahriman menzahirkan ucapan tahniah kepada semua atlet negara yang bertanding di Paris dan yang berjaya memenangi pingat di Paralimpik Paris kali ini.
Malaysia menamatkan saingan di kedudukan ke-42 keseluruhan apabila meraih dua emas, dua perak dan satu gangsa.
Dua emas negara disumbang jaguh badminton para, Cheah Like Hou bagi acara perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) dan jaguh powerlifting negara Bonnie Bunyau Gustin yang mendominasi acara lelaki 72kg manakala perak diraih Datuk Abdul Latif Romly dalam acara lompat jauh lelaki T20 (kecacatan intelektual) dan Muhammad Ziyad Zolkefli dalam acara lontar peluru lelaki F20 (kecacatan intelektual).
Satu gangsa pula dihadiahkan seorang lagi atlet olahraga para Eddy Bernard dalam acara 100m lelaki T44 (kecacatan fizikal).
“Saya ucapkan tahniah kepada semua atlet yang bekerja keras dan kepada atlet yang memenangi dua emas, dua perak dan satu gangsa. Mereka berjaya mengharumkan nama negara.
“Atlet yang tidak dapat pingat, ini bukan sesuatu yang perlu kita rasa sedih sebaliknya kita harus bekerja keras untuk tingkatkan prestasi.
“Adat dalam sukan ada menang dan kalah. Kita terima hakikat tidak berjaya capai sasaran empat emas, saya harap ini akan membuka mata kita semua untuk kita terus bekerja keras,” kata Megat Shahriman.