MRT3 Diteruskan, Lebuh Raya Pan Borneo Ditambah Baik

KUALA LUMPUR: Mesyuarat kabinet hari ini memutuskan untuk terus melaksanakan projek Mass Rapid Transit 3 (MRT 3), dan menambah baik pelaksanaan projek Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) Sabah dan Sarawak serta projek tebatan banjir.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keutamaan diberikan kepada kontraktor tempatan terutamanya bumiputera bagi menjana peluang perniagaan serta peluang pekerjaan untuk Keluarga Malaysia sekali gus akan memacu pertumbuhan dan pembangunan ekonomi khususnya objektif kerajaan untuk memperkasakan sektor perniagaan serta mencipta 600,000 pekerjaan tahun ini.

”Kerajaan telah mengambil keputusan untuk meluluskan pelaksanaan projek MRT 3 yang akan melengkapkan infrastruktur pengangkutan awam sedia ada di Lembah Klang  dengan menyediakan perkhidmatan yang bersepadu, mampu bayar dan lancar untuk Keluarga Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) menjangkakan tawaran tender bagi projek MRT3 akan dibuka untuk bidaan bermula suku kedua 2022 kerana kerajaan masih dalam peringkat akhir perincian mengenai pelan pembiayaan MRT3.

Perincian pelan pembiayaan itu dijangka dapat dimuktamadkan sebelum akhir tahun ini sebelum dapat melaksanakan langkah seterusnya termasuk pembukaan tender.

Malah mereka telah mengemukakan permintaan untuk maklumat (RFI) kepada peserta industri bagi membolehkan mereka bersedia memandangkan proses tender kali ini adalah berbeza berbanding sebelum ini.

Sementara itu, berkenaan Lebuh Raya Pan Borneo (LPB), Ismail Sabri berkata, Fasa Pertama LPB Sabah sedang giat dilaksanakan dan melibatkan 15 pakej yang mana kemajuan kerja setakat ini telah mencapai 52% dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Oktober 2024.

Dalam tujuan menambah baik lingkaran jalan untuk Keluarga Malaysia di Sabah, kerajaan juga bersetuju untuk meneruskan pelaksanaan 19 pakej kerja tambahan yang akan melibatkan jajaran sepanjang 367 kilometer dengan tempoh pembinaan selama lima tahun.

Fasa Pertama LPB Sarawak pula akan melibatkan jajaran 786 kilometer dan telah mencapai 78% kemajuan kerja setakat ini.

Bukan itu sahaja kerajaan turut bersetuju untuk melaksanakan projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) dan Projek Lebuh Raya Trans Borneo (LTB), sebagai tujuan melengkapkan LPB Sarawak.

Sementara itu, sebanyak RM1 bilion setahun diperuntukkan bagu projek pembangunan tebatan banjir di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12).

Mengambil kira fenomena banjir Monsun Timur Laut 2021/2022 yang serius sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda, Jemaah Menteri telah memutuskan untuk meningkatkan dan menyegerakan projek tebatan banjir dengan tambahan perbelanjaan sebanyak RM15 bilion untuk tempoh tahun 2023 sehingga 2030.

”Pelaksanaan projek infrastruktur berimpak tinggi di Semenanjung, Sabah dan Sarawak merangkumi pembinaan rel bersepadu dan lebuh raya serta projek tebatan banjir akan memangkin pembangunan ekonomi serta menyumbang kepada daya saing negara dan kesejahteraan rakyat,” ujarnya.

Menurut Ismail Sabri, keputusan melaksanakan projek-projek tersebut mencerminkan keprihatinan kerajaan bagi menyediakan pelbagai peluang bagi Keluarga Malaysia dan mengukuhkan momentum pemulihan ekonomi negara.

BBerkaitan

Latest articles