MRSM Kepala Batas Kini Dinamakan MRSM Tun Abdullah Ahmad Badawi

KUALA LUMPUR: Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kepala Batas kini secara rasmi dikenali sebagai MRSM Tun Abdullah Ahmad Badawi, sebagai penghormatan kepada jasa dan sumbangan besar Perdana Menteri kelima itu dalam bidang pendidikan serta pembangunan negara.

Majlis penukaran nama baharu itu disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dalam satu majlis yang berlangsung hari ini.

Turut hadir, anak lelaki Allahyarham, Tan Sri Kamaluddin Abdullah; Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; serta Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad.

Menurut Kamaluddin, penamaan ini amat bermakna buat keluarga mereka, lebih-lebih lagi kerana MRSM tersebut terletak di Kepala Batas yang merupakan kampung halaman Allahyarham Tun Abdullah.

“Di sinilah beliau dibesarkan, diasuh, dan dididik. Malah, arwah ayah, ibu, dan nendanya turut disemadikan di sini. Ini adalah tempat yang cukup dekat di hati beliau,” katanya dalam ucapan penuh emosi.

Tambah Kamaluddin, pemasyhuran ini menjadi lebih signifikan kerana Dewan Dato’ Abdul Fatah iaitu lokasi berlangsungnya majlis juga dinamakan sempena sahabat karib Allahyarham sejak kecil.

Tun Abdullah, yang lebih mesra dikenali sebagai “Pak Lah”, pernah mewakili Parlimen Kepala Batas selama tujuh penggal, dari 1978 hingga 2008. Pada 29 Mac 2009, beliau sendiri merasmikan pembukaan MRSM Kepala Batas.

Antara legasi paling bermakna Allahyarham dalam pendidikan MARA ialah pengenalan program Ulul Albab, yang menggabungkan kurikulum akademik moden dengan pendidikan agama, melahirkan generasi pelajar seimbang duniawi dan ukhrawi.

Sehingga kini, terdapat lapan MRSM Ulul Albab di seluruh negara hasil cetusan visi beliau.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 14 April lalu di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, pada usia 85 tahun.

BBerkaitan

Latest articles