MRSM Cuti Khas Isnin, Raikan Kejayaan Pasukan Ragbi

KUALA LUMPUR: Semua Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di seluruh negara akan diberi cuti khas pada Isnin sebagai penghargaan atas kejayaan pasukan ragbi MRSM Balik Pulau (Cougars BP) menjuarai Kejohanan Ragbi Super Schools 2025, semalam.

Pengumuman itu dibuat Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi satu hantaran di laman Facebook rasminya.

Pasukan Cougars BP mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi wakil MRSM pertama menjuarai kejohanan berprestij tersebut selepas menewaskan pasukan pilihan, Victoria Institution (VI) dengan keputusan tipis 14-13 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Taman Ekuestrian Putrajaya.

Turut mencuri tumpuan dalam aksi mendebarkan itu ialah pemain MRSM Batu Pahat, Muhammad Firdaus Zolkifli, yang muncul sebagai wira pasukan dengan melakukan dua try dramatik pada kedua-dua babak perlawanan.

Try berkenaan kemudiannya disempurnakan melalui tendangan conversion oleh Zaim Irsyaduddin Hezrey Fardhill dan Aqil Zikry Abdul Malek, sekaligus memastikan kejuaraan milik Cougars BP.

“Sebagai tanda penghargaan kepada semangat juang dan kejayaan luar biasa yang ditunjukkan oleh pasukan Cougars BP, MARA dengan sukacitanya mengisytiharkan cuti sehari esok bagi semua MRSM di seluruh negara,” kata Dr Asyraf dalam kenyataannya.

BBerkaitan

Latest articles