‘Mr X’ Jadi Tanda Tanya: Dakwaan Campur Tangan Politik Dalam NexG Perlu Disiasat

KUALA LUMPUR: Misteri individu dikenali sebagai ‘Mr X’ terus menjadi persoalan apabila pihak berkuasa dilihat belum mengambil tindakan terhadap dakwaan serius membabitkan perebutan kawalan korporat dalam NexG.

Penganalisis politik, Datuk Eric See-To mempersoalkan kelewatan siasatan susulan pendedahan dibuat pengasas dan pengerusi eksekutif NexG, Datuk Abu Hanifah Noordin pada 10 Mac lalu.

Menurutnya, dakwaan tersebut bukan sahaja melibatkan isu dalaman syarikat, malah turut membayangkan kemungkinan campur tangan politik dalam syarikat tersenarai.

Hanifah sebelum ini mendakwa beliau digantung selepas menentang usaha untuk mengalihkan teknologi teras NexG, termasuk sistem operasi cip untuk Secure ID serta projek integrasi identiti digital QR bernilai lebih RM300 juta kepada pihak ketiga seperti HeiTech Padu.

Lebih membimbangkan, dakwaan itu turut mengaitkan beberapa individu termasuk Chong Loong Men, Ruben, serta dua lagi yang hanya dikenali sebagai ‘Mr A’ dan ‘Mr X’.

Individu terakhir itu didakwa mempunyai pengaruh politik besar sehingga mampu memberi tekanan kepada pengurusan tertinggi syarikat untuk berundur.

Eric turut mendakwa wujud ugutan terhadap pihak tertentu, termasuk kemungkinan disiasat di bawah undang-undang seperti AMLA sekiranya enggan melepaskan jawatan, sekali gus menggambarkan ‘Mr X’ sebagai kuasa di belakang tabir dalam konflik korporat tersebut.

Selain itu, dakwaan turut mengaitkan pelaburan NexG dalam NexG Bina dengan janji mendapatkan projek besar seperti MRT3, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kemungkinan wujudnya hubungan antara politik dan kepentingan perniagaan.

Paling sensitif, Hanifah mendakwa memiliki rakaman suara melibatkan beberapa individu berkaitan yang didakwa boleh membuktikan salah laku serta membersihkan namanya.

Sehubungan itu, Eric menggesa pihak berkuasa tampil menyiasat dakwaan berkenaan secara telus dan menyeluruh.

“Siapakah ‘Mr X’ dan mengapa tiada siasatan dilakukan terhadap dakwaan serius ini?” soalnya, sambil mempersoalkan sama ada tiada pihak yang berminat meneliti bukti rakaman yang didakwa wujud.

BBerkaitan

Latest articles