Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), yang berlangsung malam tadi membuat keputusan mengiktiraf Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pemangku Pengerusi parti yang sah.
Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata keputusan MPT itu dibuat selaras dengan Fasal 16.9 Perlembagaan BERSATU, selepas Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan itu pada 24 Februari lalu.
“MPT menyokong dan memberikan mandat penuh terhadap kepemimpinan Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU sebagai Perdana Menteri Malaysia kelapan selepas dilantik Yang di-Pertuan Agong berlandaskan perlembagaan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hamzah berkata, MPT turut mengesahkan keahlian Dr Mahathir dan empat Ahli Parlimen dalam parti terhenti serta-merta berdasarkan Fasal 10.2.2 dan 10.2.3 perlembagaan BERSATU.
Empat lagi Ahli Parlimen itu adalah Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Jerlun), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar), Datuk Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu) dan Dr Maszlee Malik (Simpang Renggam).
Dalam pada itu mesyuarat MPT juga mengesahkan bahawa keputusan untuk BERSATU keluar daripada Pakatan Harapan (PH) telah dimuktamadkan pada mesyuarat MPT bertarikh 23 Februari 2020 dan pengumuman rasmi yang dibuat oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku pemangku Pengerusi pada 24 Februari adalah sah dan teratur.
Menyentuh mengenai kedudukan Setiauasa Agung dan setiausaha Kerja pula, Hamzah mengesahkan bahawa YB Senator Datuk Wira Marzuki Yahya telah diberhentikan sebagai SUA melalui surat pemberhentian bertarikh 18 Mac 2020 dan pelantikan saya sebagai SUA yang baru pada 26 mac 2020 adalah sah dan teratur mengikut perlembagaan parti.
” MPT turut mengesahkan bahawa Kepten (B) Muhammad Suhaimi Yahya adalah sekian lama Setiausaha Kerja BERSATU yang sah dan sebarang surat pemakluman yang ditandatangani oleh Setiausaha Kerja adalah terpakai secara rasmi” katanya lagi,