PONTIAN: Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) menegaskan tidak menerima sebarang rayuan untuk menarik balik arahan penutupan terhadap sebuah klinik gigi swasta dan pasar raya mini di daerah ini yang memasang Jalur Gemilang dan bendera Johor secara terbalik.
Yang Dipertua MPPn, Abdul Azim Shamsudin berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) mempunyai kuasa penuh di bawah undang-undang untuk mengambil tindakan dalam isu tersebut.
“Setakat ini tiada rayuan diterima daripada pemilik premis. Yang Dipertua mempunyai kuasa untuk menerima atau menolak, bergantung kepada merit.
“Undang-Undang Kecil (UKK) yang diwartakan bukan sekadar hiasan, ia mesti digunakan apabila berlaku pelanggaran peraturan,” katanya selepas menerima memorandum daripada gabungan 38 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Pejabat MPPn, hari ini.
Memorandum berkenaan diserahkan wakil NGO, Mohd Fauzi Abdul Rahman, dengan disaksikan Ketua Whips MPPn, Md Israk Abdullah dan Setiausaha MPPn, Tifla Mohd Addi. Gabungan NGO itu kemudian menyerahkan memorandum sama di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian.
Mengulas lanjut, Abdul Azim menolak dakwaan bahawa tindakan MPPn keterlaluan dan melampaui undang-undang.
“Semua tindakan yang diambil adalah berdasarkan UKK Pelesenan Perniagaan dan Perdagangan MDP (2019). Jalur Gemilang dan bendera Johor tidak boleh dipasang sewenang-wenangnya kerana ia dilindungi undang-undang,” tegasnya.
Media sebelum ini melaporkan arahan penutupan premis tersebut menerima kritikan pelbagai pihak, termasuk Majlis Eksekutif Kebangsaan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) yang menyifatkan tindakan itu keterlaluan dan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap tatakelola kerajaan tempatan.
Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching turut berpendapat penutupan klinik gigi terbabit selama 30 hari adalah terlalu lama memandangkan kesalahan itu tidak disengajakan.
Menurut beliau, siasatan polis juga mengesahkan bahawa pemasangan bendera secara terbalik itu tidak bertujuan mencabar kedaulatan negara.