MPPN Sokong Pindaan Akta Sewa Beli 2026 Perkukuh Hak Pengguna

KOTA KINABALU, – Majlis Penasihat Pengguna Negara (MPPN) menyatakan sokongan penuh terhadap pelaksanaan Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026, yang disifatkan sebagai langkah reformasi penting dalam memperkukuh perlindungan pengguna khususnya dalam sektor kredit pengguna di Malaysia. 

MPPN dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pindaan tersebut dijangka memberi manfaat besar kepada pengguna melalui pemansuhan penggunaan kadar faedah tetap sama rata (flat rate) serta Peraturan 78 (Rule of 78), yang akan digantikan dengan Kadar Faedah Efektif (Effective Interest Rate) dan Kaedah Pengurangan Baki (Reducing Balance Method). 

Menurut MPPN, pendekatan baharu itu akan memastikan pengiraan faedah yang lebih telus dan adil kerana ia mencerminkan baki pinjaman sebenar, sekali gus memberi kelebihan kepada pengguna yang ingin membuat penyelesaian awal pinjaman. 

Selain itu, majlis berkenaan turut menyokong usaha memodenkan urusan perjanjian sewa beli melalui penggunaan teknologi seperti tandatangan digital dan tandatangan elektronik, yang dijangka meningkatkan kecekapan proses perjanjian serta mengurangkan risiko penipuan melalui pengesahan identiti peminjam. 

MPPN juga berpandangan bahawa sekiranya keadaan industri mengizinkan, penguatkuasaan akta berkenaan lebih awal daripada tarikh yang ditetapkan wajar dipertimbangkan bagi membolehkan pengguna menikmati manfaat reformasi tersebut dengan lebih segera. 

Dalam masa sama, MPPN mengambil maklum tempoh peralihan yang diberikan kepada pihak industri bagi membolehkan mereka menyesuaikan sistem, dokumentasi dan proses operasi selaras dengan keperluan baharu yang diperkenalkan di bawah pindaan akta tersebut. 

Mengulas perkembangan global, MPPN turut mengambil perhatian terhadap kenyataan Perdana Menteri mengenai konflik geopolitik di Timur Tengah yang melibatkan Israel, Amerika Syarikat dan Iran, yang berpotensi memberi tekanan kepada harga komoditi global, rantaian bekalan serta kos sara hidup. 

Sehubungan itu, MPPN menegaskan kepentingan pemantauan harga serta amalan perniagaan yang beretika, di samping menyeru pengguna supaya lebih peka terhadap hak mereka dan berhemah dalam membuat keputusan perbelanjaan. 

Selaras dengan tema Hari Pengguna Kebangsaan 2026, “Suara Kita, Kuasa Kita”, MPPN menyeru semua pengguna untuk meningkatkan kesedaran mengenai hak kepenggunaan dan memainkan peranan aktif dalam membudayakan amalan kepenggunaan yang bertanggungjawab. 

MPPN turut menegaskan komitmennya untuk terus berperanan sebagai badan penasihat kepada kerajaan dalam memperkukuh dasar serta perundangan berkaitan kepenggunaan bagi memastikan hak dan kepentingan pengguna sentiasa terpelihara. 

BBerkaitan

Latest articles