More

    MPM dapat hak penyiaran Sukan SEA, Para ASEAN Kemboja 2023

    KUALA LUMPUR — Buat julung-julung kalinya, Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) mendapat hak penyiaran dalam negara bagi kedua-dua temasya Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN (APG) Kemboja.

    Presiden MPM Datuk Seri Megat D Shahriman berkata Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Kemboja (CAMSOC) telah memberikan tawaran itu kepada pihaknya.

    Beliau berkata MPM akan menjual hak eksklusif penyiaran kepada badan-badan penyiaran utama dalam negara termasuk hak televisyen (siaran percuma dan televisyen berbayar), hak internet dan media baharu (IPTV & OTT), serta hak media sampingan (termasuk hak audio).

    “Usaha yang diambil MPM bukan hanya akan memberi manfaat kepada pergerakan sukan dalam negara, bahkan memberi keyakinan kepada rakyat bahawa negara sentiasa prihatin pada pembangunan sukan dan cita rasa peminat sukan.

    “Melalui siaran secara langsung atau sebaliknya, peminat sukan dapat mengikuti perkembangan wira dan wirawati negara bersaing di medan Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Sebanyak 37 jenis sukan termasuk sukan demostrasi akan dianjurkan pada Sukan SEA ke-32 yang berlangsung bermula 5 hingga 17 Mei ini, manakala APG ke-12 dari 3 hingga 9 Jun bakal menyaksikan pengajuran 13 jenis sukan.

    Kedua-dua temasya yang melibatkan 10 negara ASEAN dan Timor Leste akan diadakan di Phnom Penh.

    — BERNAMA

    Berita Berkaitan

    Berita Terkini