MP PN Bantah Senarai Nama Yang Ponteng Sidang Dewan Rakyat, Sifatkan Ia Memalukan, Tak Praktikal

KUALA LUMPUR: Tindakan menyenaraikan nama-nama Ahli Parlimen yang tidak hadir ke persidangan Dewan Rakyat di laman portal rasmi akan memberi pandangan negatif rakyat kepada wakil kawasan mereka.

Demikian ulas Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee berkenaan cadangan yang disuarakan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dalam usaha membuat penambahbaikan untuk persidangan Dewan Rakyat yang akan dibincangkan bagi meningkatkan kehadiran ahli Parlimen.

Jelas Johari, cadangan itu akan dibincangkan oleh beliau dengan jawatankuasa Parlimen yang turut dianggotai oleh Ahli-Ahli Parlimen daripada pihak pembangkang dan juga kerajaan.

Mengulas lebih lanjut, Ronald menyifatkan cadangan itu sebagai cadangan yang tidak munasabah dan memalukan, serta tidak praktikal.

Tegas beliau, ahli Parlimen termasuk menteri dan timbalan menteri mempunyai tugasan lain yang memungkinkan mereka tidak dapat hadir pada sidang Dewan Rakyat.

“Hangat di luar sekarang ini tentang soal ahli Parlimen ponteng Parlimen, lebih hangat Speaker buat kenyataan di luar bukan di Parlimen bahawa Speaker akan melihat untuk muktamadkan cadangan potong gaji dan meletakkan senarai nama di laman web rasmi Parlimen, ini memalukan.

“Apa sebenarnya kehendak Parlimen dalam isu ini?

“Soal kehadiran ini perlu dibuat secara terperinci, tidak boleh dibuat secara bersendirian oleh Speaker sebab ada peraturan mesyuarat,” katanya lagi.

Mengulas lanjut Ronald berkata, kehadiran Ahli Parlimen merupakan isu lama yang tidak terhad kepada satu konteks sahaja.

“Kita boleh bersidang tiga orang dalam dewan jika dimaklum kepada Speaker. Itu ada dalam peraturan mesyuarat. Maknanya dalam peraturan mesyuarat telah dikenal pasti tapi tidak secara rigid.

“Isu ini sejak 23 tahun dahulu, semasa saya sudah di sini, tapi tidak diperbesarkan sebab kita tahu tiada menteri yang boleh hadir persidangan setiap masa. Mereka ada tugasan di luar sana. Mahu lihat 222 ahli dewan? Ia tidak akan berlaku

“Saya setuju bahawa ahli Parlimen mesti hadir tapi senaraikan nama yang tidak hadir, memalukan mereka, saya rasa bukan tindakan yang baik dan tidak mengangkat martabat Parlimen,” tegasnya.

Sementara itu, memberi respons berkenaan perkara berkenaan, Johari menafikan berniat untuk memalukan Ahli Parlimen.

Sebaliknya beliau berkata, cadangan memaparkan senarai nama ahli Parlimen yang tidak hadir persidangan masih belum dimuktamadkan.

“Perkataan memalukan itu salah, saya tidak pernah berniat untuk memalukan. Kedua Ahli Parlimen ada komitmen lain tidak semestinya mereka pasti ada di sini, baca laporan itu betul-betul.

“Namun begitu apa cadangan akam dibawa ke jawatankuasa peraturan mesyuarat saya jelas dengan perkara berkenaan. Saya tidak ada kuasa berdebat,” katanya tanpa mengulas lanjut.

BBerkaitan

Latest articles