KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin, hari ini dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan bersubahat menerima rasuah berkaitan projek usaha sama ternakan lembu milik Kerajaan Negeri Kedah yang berlaku lima tahun lalu.
Dalam prosiding berasingan, seorang ahli perniagaan, Ammar Assuat Abu Bakar, turut didakwa atas dua pertuduhan meminta dan menerima sogokan berjumlah RM400,000 sebagai balasan membantu mendapatkan projek sama.
Kedua-duanya bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.
Mengikut kertas pertuduhan, Azman didakwa bersubahat dengan Ammar di Bandar Baru Bangi pada 23 Jun 2020, apabila Ammar meminta serta menerima RM400,000 daripada Mohd Hassanaim Fauzi bagi membantu mendapatkan Projek Usahasama Ternakan Lembu Pedaging Secara Fidlot di Ladang Fidlot Kedah Agro, Kubang Pasu.
Azman pula didakwa mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif Kedah Agro Holding Berhad (KAHB) mengeluarkan surat tawaran projek kepada individu tersebut.
Pertuduhan terhadap Azman dibuat mengikut Seksyen 28(1)(c) dibaca bersama Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009, yang membawa hukuman penjara dan denda sekiranya disabitkan.
Timbalan Pendakwa Raya, Muaz Ahmad Khairuddin, memohon jaminan RM100,000, namun peguam bela N. Surendran merayu jumlah lebih rendah dengan alasan anak guamnya merupakan ahli Parlimen aktif, mempunyai keluarga besar dan tidak berisiko melarikan diri.
Mahkamah akhirnya menetapkan jaminan RM75,000 serta mengarahkan Azman menyerahkan pasportnya.
Sebutan kes ditetapkan pada 17 Januari 2026.
Sementara itu, Ammar berdepan dua pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 kerana meminta dan menerima RM400,000 pada dua lokasi berbeza di Bandar Baru Bangi pada 20 dan 23 Jun 2020.
Peguamnya, R. Yoganathan, memohon jaminan rendah atas alasan anak guam merupakan bapa kepada tiga anak serta telah memberi kerjasama penuh kepada SPRM sejak Mac 2025.
Hakim kemudiannya memerintahkan Ammar membayar jaminan RM75,000 dan menyerahkan pasport antarabangsa sebelum menetapkan 13 Januari 2026 sebagai tarikh sebutan kes.










