MP Langkawi Dikecam, Perlu Mohon Maaf Selepas Perlekeh Teresa Kok

KUALA LUMPUR: Kenyataan Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah yang memperlekeh Ahli Parlimen Seputeh, Teressa Kok untuk datang ke Langkawi dengan keadaan tanpa pakaian mendapat kecaman Sekretariat Wanita Profesional UMNO Malaysia.

Mereka menuntut Mohd Suhaimi memohon maaf ekoran kenyataan kontroversi pada sesi sidang Dewan Rakyat kelmarin, selain mengkritik tindakan pemimpin Bersatu itu sebagai tidak beretika dan memalukan.

“Tidak ada ruang bagi kenyataan yang merendahkan martabat wanita dan memperlekehkan perjuangan mereka dalam mencapai kesetaraan dan keadilan.

“Beliau menjemput Ahli Parlimen Seputeh, Teressa Kok untuk datang ke Langkawi dengan keadaan tanpa pakaian.

“Lebih menyedihkan, beliau turut menyatakan sedang membayangkan perkara itu berlaku.

“Ini bukan sahaja menjatuhkan imej wanita tetapi juga menghina kedudukan wanita di dalam masyarakat kita,” menurut kenyataan tersebut.

Sekretariat Wanita Profesional UMNO Malaysia juga menegaskan, sebagai ahli Parlimen, beliau seharusnya menjunjung nilai-nilai hormat-menghormati, etika dan martabat dalam perbicaraan awam dan dalam perwakilan di Parlimen.

“Penghormatan terhadap wanita termasuk para wakil rakyat wanita, adalah kunci kepada masyarakat yang adil dan inklusif.

“Sebagai masyarakat yang komited kepada kesaksamaan gender dan hak asasi wanita, kami berharap agar tindakan dan kenyataan seperti ini tidak akan diulangi, dan para wakil rakyat kita akan mempertimbangkan kesan serta tanggungjawab mereka dalam perkara ini,” kata kenyataan tersebut.

Khamis lalu, Mohd Suhaimi mengeluarkan perkataan yang melanggar peraturan ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 di Dewan Rakyat dengan menyebut “kepada YB Seputeh, datang ke Langkawi tak pakai apa pun tak apa”.

Ia kemudian dicelah oleh Chong Zhemin (PH-Kampar) yang menyatakan “tidak pakai apa-apa” adalah melanggar peraturan mesyuarat.

Mohd Suhaimi seterusnya terus menyatakan “saya sedang bayangkan Seputeh datang tak pakai apa-apa.”

Isu itu dibangkitkan selepas Teresa mencelah perbahasan Mohd Suhaimi dengan bertanya adakah boleh memakai seluar pendek di Langkawi.

BBerkaitan

Latest articles