MP Kuala Kangsar Tak Pernah Berhubung Dengan PM Untuk Nyata Sokongan

KUALA LUMPUR: Peralihan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan mungkin disebabkan kehendak peribadi, demikian menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai mengulas perkembangan berkaitan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid.

Bagaimanapun ujar Ahmad Zahid, Ahli Parlimen Kuala Kangsar itu tidak pernah menghubungi atau bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini bagi menyatakan hasratnya itu.

Bahkan tidak mungkin ada perbincangan antara Anwar dan Iskandar Dzulkarnain mengenai sokongan yang diberikan oleh beliau terhadap Kerajaan Perpaduan.

“Mengenai kedudukan Ahli Parlimen Kuala Kangsar tidak pernah disebut oleh Perdana Menteri dalam ucapan belanjawan ini. Jadi, kita jawab waktu lain.

“Tetapi, Kabinet telah dimaklumkan pagi tadi bahawa ahli Parlimen Kuala Kangsar tidak pun menelefon atau pun bertemu dengan Perdana Menteri apatah lagi mengadakan perbincangan dengan mengenai sokongan beliau kepada Kerajaan Perpaduan ini, tanpa beliau sendiri keluar daripada partinya,” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen sejurus selepas pembentangan Belanjawan 2024 oleh Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu Ahmad Zahid diajukan sama ada berlaku penyalahgunaan kuasa bagi melakukan intimidasi serta ugutan terhadap pemimpin pembangkang sebagaimana yang dihadapi oleh Iskandar Dzulkarnain.

Terdahulu Iskandar Dzulkarnain memutuskan untuk menyokong kepimpinan Perdana Menteri, berkuatkuasa semalam.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat setelah meneliti rintihan berterusan pengundi dan menitikberatkan keperluan mendesak untuk menangani masalah krisis kenaikan kos sara hidup yang melanda kawasannya.

BBerkaitan

Latest articles