MP Kerajaan Cadang Gubal Akta Pilihan Raya, Calon Yang Dibatal Kemenangan Dilarang Bertanding Lagi

KUALA LUMPUR: Calon pilihan raya yang dibatalkan kemenangan atas kesalahan rasuah tidak dibenarkan untuk bertanding semula.

Itu cadangan yang dikemukakan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong di Dewan Rakyat ketika Perbahasan Belanjawan di Peringkat Jawatankuasa hari ini.

Sehubungan itu beliau menyarankan supaya Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 perlu digubal supaya calon yang sama tidak boleh bertanding semula dalam Pilihan Raya Kecil (PRK).

Tiong merujuk dua kes melibatkan kemenangan calon Perikatan Nasional (PN) di Parlimen Kuala Terengganu dan Kemaman yang dibatalkan selepas mahkamah membuat keputusan wujud kesalahan rasuah.

“Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 di bawah Seksyen 10 mengatakan bahawa seseorang calon sekiranya dia ketahui ada unsur sogokan maka ia akan menjadi bukti untuk membatalkan keputusan pilihan raya akan tetapi seksyen 37(b)1.

“Dalam Akta Pilihan Raya pula mengatakan mengatakan seseorang itu hanya dihalang menjadi calon semula dengan syarat ada pengetahuan dan juga persetujuan (calon) atas perbuatan rasuah.

“Saya lihat dua seksyen ini ada percangahan, kita merujuk kepada keputusan mahkamah di kerusi Kuala Terengganu dan Kemaman di mana mahkamah memutuskan ada unsur sogokan di kedua Parlimen tersebut dan mereka dibatal kemenangan tapi calon dibenar tanding semula dalam PRK ini suatu yang aneh, kalau sudah ada sogokan kenapa perlu mesti ada persetujuan (calon) untuk sogokan tersebut baru boleh di halang bertanding,” katanya.

Pada 27 Jun lalu, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad yang mewakili PAS pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) selepas didapati wujud perbuatan rasuah dengan tujuan mempengaruhi pengundi.

Begitu juga kemenangan calon PAS, Che Alias Hamid di kerusi Parlimen Kemaman, turut dibatalkan pada 26 September lalu, selepas mendapati wujud unsur sogokan di beberapa majlis rasmi Kerajaan Negeri Terengganu melalui dana bantuan i-Belia dan i-Siswa yang telah diagihkan kepada pengundi semasa tempoh berkempen untuk PRU-15.

BBerkaitan

Latest articles