MP Gua Musang Ikut Jejak Kuala Kangsar, Labuan Sokong Anwar

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) sekali lagi menyaksikan Ahli Parlimennya mengumumkan sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kali ini melibatkan Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim dengan menegaskan tindakan itu diambil bagi memastikan kebajikan penduduk di kawasannya terbela dan mendapat pelbagai manfaat termasuk peningkatan kemudahan infrastruktur.

“Saya juga ingin menyatakan sokongan kepada inisiatif kerajaan mengutamakan kebajikan rakyat negara ini sehingga pilihan raya umum akan datang,” katanya dalam kenyataan.

Pengumuman Azizi menyusuli tindakan sama diambil Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid dan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman, juga daripada Bersatu.

Azizi bagaimanapun menegaskan kekal setia kepada parti.

“Sejujurnya, saya tidak berniat untuk keluar atau mengkhianati Bersatu, tetapi demi memastikan Parlimen saya Gua Musang seiring dengan pemerintahan persekutuan, adalah wajar untuk saya bersama dalam saf kepimpinan Putrajaya yang diketua oleh Anwar,” katanya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin mengumumkan parti itu menggantung keahlian Iskandar selama empat tahun, manakala Suhaili digantung enam tahun kerana menyokong Anwar.

BBerkaitan

Latest articles