MP Bukit Gantang Pula Akan Sokong Anwar?

KUALA LUMPUR: Sekiranya peruntukan kawasan diluluskan, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal sekali lagi menegaskan pendirian akan menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2023 peringkat jawatankuasa berkata, Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) itu memaklumkan masih menunggu kata putus daripada pihak Kerajaan Madani berhubung permintaan beliau.

“Saya sekarang minta macam-macam, apakah kerajaan bersetuju atau tidak. Kalau tak minta kerajaan pun tidak setuju, minta dengan baik pun tidak bagi, mintak dengan kasar pun tidak bagi. Nak mintak macam mana?

“Dalam permintaan yang lepas, saya minta luluskan rakyat saya untuk Bukit Gantang, dua pusat kesihatan, ini saya boleh sokongan kerajaan PMX. Tapi tidak ada jawapan, secara terang-terangan (saya minta peruntukan) tapi secara senyap boleh dilaksanakan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Syed Abu Hussin sokongan itu akan diberikan jika permohonan peruntukan RM30 juta di kawasannya diluluskan di bawah Belanjawan 2024.

Peruntukan itu akan digunakan untuk penyelenggaraan Tabika Kemas berjumlah RM1.05 juta, pembangunan ekonomi komuniti (RM90,000) dan kemudahan ameniti sosial (RM3 juta).

Syed Abu Hussin turut memohon peruntukan pemasangan lampu jalan kampung dan lingkaran jalan luar bandar serta pembangunan desa di kawasan Parlimen yang mempunyai tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) dan lima mukim yang meliputi sebanyak RM16 juta.

Untuk rekod pada awal bulan ini, Syed Abu Hussin menegaskan kesediaannya untuk memberikan sokongan kepada Anwar.

Sebelum ini empat ahli parlimen Bersatu telah mengumumkan menyokong Anwar. Mereka adalah Zahari Kechik (Jeli), Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

BBerkaitan

Latest articles