MoU Gabungan Politik Sokong Kerajaan Perpaduan Ditandatangani Hari Ini

KUALA LUMPUR: Permuafakatan Antara Gabungan di bawah Kerajaan Perpaduan hari ini ditandatangani antara lima gabungan utama iaitu Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan Sabah (Warisan).

Perjanjian (MoU) itu memaklumkan kebersamaan gabungan politik tersebut bagi menamatkan kemelut politik negara pasca Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15).

Begitu juga bertujuan mengukuhkan pentadbiran kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam pada itu, Anwar menyifatkan persefahaman yang dicapai pada hari ini menyerlahkan perkembangan politik negara yang menarik dalam mencapai kestabilan dan memartabatkan Malaysia sebagai sebuah negara maju.

“Yang disepakati bukan kedudukan tapi prinsip dan dasar.

“Saya telah diberikan kepercayaan dan terharu dengan komitmen bersama sebagai pasukan mantap kerajaan Perpaduan dan ini alan membolehkan kita menghadapi apa masalah di Parlimen dengan satu suara di Dewan Rakyat,” katanya dalam majlis menandatangani Permuafakatan antara Gabungan di bawah Kerajaan Perpaduan di pejabat Perdana Menteri hari ini.

MoU ini ditandatangani setiap setiausaha agung parti dalam gabungan dan disaksikan oleh setiap presiden parti masing-masing.

Mereka adalah Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Setiausaha Agung Parti Warisan, Datuk Loretto S Padua.

Ia disusuli ketua-ketua parti turut menandatangani MoU berkenaan sambil disaksikan Setiausaha Agung parti masing-masing.

Mengiringi Anwar adalah Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri serta Datuk Seri Fadillah Yusof selaku Timbalan Perdana Menteri II.

Antara yang hadir adalah Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Shafie Apdal, Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, Parti Bangsa Malaysia (PBM), Datuk Larry Sng dan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Turut kelihatan adalah Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng, Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto S Padua Jr, Naib Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedict dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

BBerkaitan

Latest articles