KOTA KINABALU: Misteri pembunuhan kejam wanita yang mayatnya ditemui dikerat dan dibuang di beberapa lokasi sekitar Indah Permai akhirnya mula terungkai apabila polis mendedahkan motif dipercayai berpunca daripada konflik hubungan peribadi serta tuntutan wang pertunangan.
Perkara itu didedahkan hasil soal siasat awal terhadap suspek utama, lelaki tempatan berusia 71 tahun yang ditahan bagi membantu siasatan.
Turut diberkas seorang lagi suspek berusia 19 tahun yang dipercayai mempunyai kaitan langsung dengan kejadian tersebut.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, tangkapan pertama dibuat kira-kira jam 8.10 malam di Unit Kecemasan Hospital Queen Elizabeth II, sebelum suspek kedua ditahan sekitar jam 10.30 malam di sebuah apartmen di Sepanggar.
Menurut beliau, maklumat saksi mendapati mangsa pernah dilihat meluru keluar dari sebuah rumah dalam keadaan cemas sebelum ditarik masuk semula oleh seorang lelaki, beberapa jam sebelum kejadian terbongkar.
Dalam operasi itu, polis turut merampas beberapa barangan termasuk telefon bimbit, pakaian dipercayai dipakai ketika kejadian serta sebuah kenderaan Nissan X-Trail berwarna emas.
Kedua-dua suspek kini direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Polis memberi jaminan siasatan dijalankan secara menyeluruh dan profesional serta meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membantu.
Terdahulu, penduduk digemparkan dengan penemuan anggota badan mangsa berusia 40-an yang dikerat dan dibuang berasingan di beberapa lokasi pembuangan sampah.
Bahagian tangan dan kaki ditemui sekitar jam 6.30 pagi sebelum kepala serta badan mangsa dijumpai beberapa jam kemudian di kawasan berhampiran.










