Moratorium: Kuasa Bank Negara, Menteri Kewangan besar – Najib

KUASA Bank Negara Malaysia (BNM) dan Menteri Kewangan sangat besar, kata bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Hendak seribu daya tak nak seribu dalih. Tadi, Menteri Kewangan mengatakan kerajaan tak kawal bank dan tak ada kuasa untuk suruh beri moratorium pinjaman atau tentukan bentuk bantuan bank kepada peminjam.

“Tapi boleh claim credit pulak untuk moratorium enam bulan pada tahun lepas?,” katanya menerusi Facebook.

Beliau turut mempersoalkan mengapa Ordinan Darurat boleh mengambil alih Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan Kem Wawasan swasta.

“Selain itu, Ordinan itu turut digunakan bagi menggantung Akta Kewangan untuk benarkan kerajaan belanja sesuka hati, meminda kompaun maksima langgar SOP dari RM1,000 ke RM10,000 termasuk meminda akta KWAN untuk korek berbilion-bilion dari tabung KWAN dan menggubal undang-undang khusus berita palsu dengan denda RM100,000 dan penjara tiga tahun.

“Namun, tidak boleh pulak guna kuasa darurat untuk suruh bank buat moratorium pinjaman tanpa faedah secara automatik bagi semua golongan B40, M40 serta peniaga kecil dan sederhana untuk tempoh tiga bulan sahaja semasa “Total” lockdown?,” soalnya.

Jelas Ahli Parlimen Pekan itu, kerajaan tidak perlu menggunakan kuasa darurat untuk mengawal institusi perbankan kerana itu adalah di bawah kuasa BNM serta Menteri Kewangan.

“Tak ada kuasa darurat pun tak apa sebab kuasa BNM dan Kementerian Kewangan ke atas bank-bank Malaysia adalah sangat besar.

“Lagipun, kerajaan dan badan GLC serta GILC adalah pemilik saham terbesar bagi hampir semua bank di Malaysia. Itupun tak ada kuasa ke?

“Weyy… Semalam, Bank CIMB umum keuntungan bagi tempoh 3 bulan pada suku 1 2021 cecah rekod paling tertinggi setelah naik 5 kali ganda dari RM508 juta pada suku 1 2020 (tempoh Covid baru mula) ke RM2.46 bilion.

“(Keuntungan operasi pula naik 144% ke RM1.74 bilion dari RM714 milion bagi tempoh yang sama). Perolehan turut meningkat kepada RM5.96 bilion daripada RM4.14 bilion,” katanya.

Justeru itu, beliau berkata, bank-bank Malaysia mampu memberi moratorium tersebut tanpa ianya jatuh ke arah kerugian.

Menerusi laporan media, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menyatakan bahawa pelaksanaan moratorium pinjaman ‘total’ dalam bantuan ekonomi terbaru bernilai RM40 bilion yang dilancarkan semalam telah dipersetujui oleh bank-bank dalam perbincangan mereka dengan Bank Negara Malaysia.

“Anda kena faham kerajaan tidak mengawal atau memiliki bank, betul tak?” katanya.

“Ini perbincangan antara Bank Negara dan bank-bank. Kami tidak memiliki kemampuan undang-undang untuk memaksa bank melakukan (apa yang kami mahukan).

“Bawah Pemerkasa Plus, kami memberikan moratorium pinjaman automatik kepada golongan B40. Jika mereka layak, mereka dapat memperolehnya.

“Mereka yang kehilangan pekerjaan, termasuk daripada golongan pertengahan M40 atau golongan Top20, akan mendapat moratorium pinjaman mereka secara automatik,” katanya.

Beliau berkata, peniaga kecil dan perusahaan sederhana (SME) yang tidak dibenarkan beroperasi ketika PKP penuh layak mendapat moratorium pinjaman.

“Mereka yang layak boleh memilih moratorium penuh sehingga tiga bulan atau mendapat pengurangan bayaran balik sebanyak 50 peratus selama enam bulan.

“Sekiranya anda dapat namakan saya satu negara yang telah melakukan ini, tolong lakukan,” katanya

Latest articles

Related articles

spot_img