Moody’s Kekalkan Penarafan Kredit Berdaulat Malaysia pada A3, Tinjauan Stabil

KUALA LUMPUR — Moody’s Ratings (Moody’s) telah mengekalkan penarafan kredit berdaulat Malaysia pada A3 dengan tinjauan “Stabil”. Ini mencerminkan usaha berterusan Kerajaan dalam memacu pertumbuhan ekonomi, serta kekal pada landasan dalam pembaharuan fiskal dalam ketidaktentuan yang menstrukturkan semula ekonomi global dan perpecahan geopolitik.

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, berkata pengesahan penarafan ini merupakan pengiktirafan terhadap dasar-dasar Kerajaan MADANI yang fokus pada perubahan struktur dan amalan tadbir urus yang tinggi dan
menekankan komitmen kerajaan untuk terus melaksanakan pembaharuan ekonomi dan memacu pertumbuhan serantau demi manfaat rakyat.

Kerajaan MADANI merancang untuk mempercepatkan pembaharuan fiskal dan ekonomi melalui Belanjawan 2025, memberi keutamaan kepada pelaburan berkualiti, dan mempercepat pembangunan infrastruktur bersepadu. Sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun 2025, Malaysia juga bertekad untuk memacu kerjasama ekonomi di rantau ini katanya dalam satu kenyataan disini, hari ini.

Moody’s menggariskan Malaysia sebagai salah satu ekonomi berpenarafan ‘A’ yang dijangka berkembang pesat dalam tempoh dua tahun akan datang. Prospek ini didorong oleh struktur ekonomi yang pelbagai, daya saing tinggi, dan kestabilan harga, selain sokongan daripada pasaran modal domestik yang kukuh dan sistem kewangan yang canggih.

Menurut laporan itu, sokongan politik yang stabil membolehkan kerajaan melaksanakan pembaharuan struktur dan institusi yang penting, termasuk Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023. Kerajaan juga komited untuk memperbaiki kewangan awam melalui peningkatan hasil dan rasionalisasi subsidi.

Anggaran awal menunjukkan KDNK Malaysia pada suku keempat tahun 2024 berkembang sebanyak 4.8%. Kerajaan optimis bahawa sasaran pertumbuhan antara 4.8% hingga 5.3% untuk tahun 2024 akan tercapai, dengan unjuran 4.5% hingga 5.5% untuk tahun 2025. Usaha konsolidasi fiskal juga dirancang untuk menurunkan defisit daripada 4.3% KDNK pada 2024 kepada 3.8% pada 2025.

BBerkaitan

Latest articles