Monopoli Taekwondo Malaysia punca sukan itu digugurkan di SUKMA

CYBERJAYA — Monopoli daripada pihak Taekwondo Malaysia (TM) antara punca sebenar mengapa sukan itu telah digugurkan di temasya Sukan Malaysia (SUKMA).

Setiausaha Agung Persatuan Taekwondo Malaysia (MTA), Eddie Tuan mendakwa TM tidak membenarkan atlet berbakat dari persatuan taekwondo lain daripada mengambil bahagian.

Beliau mendakwa hanya atlet daripada TM saja boleh mengambil bahagian sedangkan mereka sebenarnya cuma dilantik sebagai pengelola teknikal taekwondo oleh Majlis Jawatankuasa Tertinggi Sukma.

“Ini bukan kejohonan TM, kenapa mereka selalu mengambil fasal dalam perlembagaan TM untuk mengendali taekwondo di Sukma. Sukma adalah satu program Majlis Sukan Negara,” katanya.

Tambahnya, sepatutnya semua atlet taekwondo tidam kira dari mana-mana aliran taekwondo dibenarkan untuk bersaing merebut tempat sebelum mewakili negara.

“Taekwondo dikelola oleh TM untuk Sukma. Banyak syarat untuk atlet-atlet persatuan luar untuk ambil bahagian ,” katanya.

Sukan taekwondo tidak disenaraikan pada SUKMA Majlis Sukan Negara (MSN) 2022 yang akan diadakan di Kuala Lumpur bermula 16 hingga 24 September ini.

SUKMA 2022 di Kuala Lumpur akan mempertandingkan 31 acara antaranya wushu, karate, judo, Muay Thai, pencak silat dan tinju manakala taekwondo dan terjun wanita yang menjadi acara Olimpik tidak dipertandingkan.

Dalam pada itu, Eddie bersetuju dengan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah Abdul Karim berhubung terlalu banyak orang politik dalam sukan Malaysia.

Beliau mempersoalkan mengapa perlu melantik individu bukan atlet atau orang tiada kaitan dengan sukan untuk menerajui persatuan sukan.

Tegasnya, tujuan SUKMA adalah untuk mencungkil bakat dan mencari atlet terbaik untuk mewakili negara di kejohanan antarabangsa.

Bagaimanapun, beliau berkata malangnya, itu tidak berlaku untuk sukan taekwondo.

“Apabila TM ditubuhkan pada tahun 2010, mereka telah merampas hak badan induk kami dari (MTA).

“Pada masa kami sebagai badan induk, rekod cermelang kami adalah 10 pingat emas dari Sukan SEA dan setiap Olimpik kami mempunyai atlet yang bertanding di temasya sukan yang terbesar ini. Sejak TM mengambil alih sebagai badan induk, pencapaian di Sukan SEA teruk dan tidak ada atlet negara ke Olimpik.

“Memanipulasi sukan itu dan tidak membenarkan atlet dari luar TM untuk mengambil bahagian,” dakwanya.

Eddie berkata sedangkan ramai atlet berbakat dari kumpulan persatuan taekwondo yang berbeza aliran di negara ini telah dilarang mengambil bahagian dalam SUKMA.

“Jadi apakah tujuan SUKMA. Sukan ini harus terbuka kepada semua dan biarlah atlet terbaik menang,” katanya.

MTA ditubuhkan pada 1972 dan akan menyambut ulang tahun yang ke-50 akhir tahun ini.

Komen

Berkaitan

Media Sosial

19,954FansLike
3,604FollowersFollow
20,300SubscribersSubscribe

Terkini