KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) pasti tersilap langkah sekiranya merasakan pengundi mereka akan memilih gabungan itu sekali lagi dalam Pilihan Raya Negeri PRN (PRN) Kedah.
Menurut Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid, momokan bahawa gabungan itu akan terus menguasai negeri Jelapang Pagi itu disifatkan tidak mungkin berlaku faktor perbentukan Kerajaan Perpaduan.
“Apa yang berlaku pada November 2022 (dalam PRU15) lalu waktu itu suasananya sangat berbeza dengan tujuh bulan kemudian, sebab pada waktu itu kerajaan tidak ditubuhkan di Putrajaya.
“Semua orang (parti politik) berkejar untuk menubuhkan kerajaan di Putrajaya, tapi sekarang kita dah tubuhkan kerajaan di Putrajaya, Kerajaan BN, Pakatan Harapan (PH) dah ada di Putrajaya,” katanya dalam satu sidang media hari ini.
Baru-baru ini Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor baru-baru ini, yang mendakwa PH tidak mendapat sokongan anak muda sebaliknya sokongan golongan itu kini telah beralih kepada PN.
Jelas Mahdzir lagi, pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan kini telah membuka mata rakyat termasuk golongan muda yang mana mereka boleh mengubah keputusan memilih pada PRU lalu dalam PRN kali ini.
“Saya kira momok-momok ini memang biasa bila dekat PRN ini, macam-macam persepsi akan dibangkitkan, semuanya (memihak kepada) PN,” katanya lagi.