Momentum Semakin Meningkat, Gelombang Biru Kembali Kukuh Di Sabah – Asraf Wajdi

SANDAKAN: Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yakin gelombang sokongan terhadap Barisan Nasional (BN) kembali menunjukkan peningkatan ketara di Sabah.

Beliau berkata, ia berdasarkan kepada laporan lapangan dan pemerhatian langsung sepanjang lima hari kempen Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) berlangsung.

Menurut Asyraf Wajdi, laporan yang diterima daripada jentera dan wakil BN di seluruh kawasan menunjukkan suasana politik di Sabah berada dalam keadaan stabil dan memihak kepada gabungan itu.

“Saya melihat sendiri melalui pengalaman turun ke lapangan, ditambah laporan yang saya terima setiap malam, suasana kini amat normal.

“Gelombang biru yang kita cetuskan mula menunjukkan momentum yang sangat baik,” katanya kepada pemberita selepas Ceramah Perdana di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Murni, di sini.

Mengulas faktor utama peningkatan sokongan tersebut, Asyraf Wajdi berkata, BN berada dalam keadaan paling stabil berbanding parti lain.

Katanya, BN tidak menghadapi sebarang masalah di semua 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi.

“Tidak ada calon BN yang merajuk atau bertanding sebagai Bebas. Ini sangat berbeza dengan keadaan yang dihadapi parti lain,” katanya.

Beliau berkata, kekuatan gerak kerja BN hari ini adalah hasil persiapan lebih lima bulan sebelum hari penamaan calon.

Katanya, jentera dari seluruh negara sudah berkampung di Sabah hampir lima bulan, bukan bermula pada hari penamaan calon.

“Jika inilah momentumnya, BN tidak perlu berjanji. Kita akan tunjukkan buktinya,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles