KOTA BHARU: Warga emas yang dikenali sebagai ‘moksu bedak sejuk viral’ dan cukup dekat di hati masyarakat Kelantan disahkan meninggal dunia pada Ahad selepas dipercayai terlibat dalam kejadian langgar lari.
Allahyarhamah Tengku Jariahhanna Tuan Ismail sebelum itu dilaporkan dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk menerima rawatan, namun disahkan meninggal dunia akibat kecederaan dialami.
Perkara itu dimaklumkan oleh Engku Seri Kelantan menerusi satu hantaran di Facebook yang mengesahkan ibu saudaranya telah menghembuskan nafas terakhir pada awal pagi tadi.
“Terima kasih Kenny Razali yang memaklumkan perkara ini kepada saya. Saya sedang dalam perjalanan pulang ke Kota Bharu. Mohon semua sedekahkan Al-Fatihah buat arwah,” tulisnya.
Difahamkan, jenazah Allahyarhamah masih berada di HRPZ II bagi urusan selanjutnya.
Allahyarhamah dikenali ramai dengan penampilan bersahaja berbaju kurung, wajah berbedak sejuk serta kebiasaannya berpantun ketika berinteraksi dengan orang ramai.
Sifatnya yang peramah dan ceria sering mencuit hati masyarakat setempat, malah setiap kali menerima sedekah, beliau tidak pernah lupa mendoakan pemberi dengan penuh keikhlasan, menjadikan dirinya figura yang amat disenangi ramai.










