Menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Chini semalam, Mohd Sharim Md Zain tekad mahu memastikan tidak ada seorang pun masyarakat di Chini terabai daripada menerima manfaat daripada kerajaan.
BN Menang Dengan Majoriti Lebih Besar di Chini
Ujarnya, tugas pertamanya pada ketika ini adalah bertemu dengan semua pemimpin masyarakat setempat dan mencari jalan penyelesaian.
“Alhamdulillah, semuanya berakhir dengan baik untuk BN (Barisan Nasional). Sekarang adalah masa untuk belajar dan bekerja. Saya mohon diberikan masa untuk saya menyesuaikan diri memandangkan pemilihan saya (sebagai calon) juga tidak pernah diimpikan.
“Tapi, saya berjanji akan melakukan sehabis baik dan mohon semua yang lain untuk sama-sama mendoakan saya supaya terus istiqamah dalam perjuangan,” katanya.
Mohd Sharim menang dengan majoriti besar berjumlah 12,650 undi menewaskan dua calon bebas iaitu Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, yang mendapat 1,222 undi dan Mohd Shukri Mohd Ramli memperoleh 137 undi.
Beliau juga melahirkan rasa penghargaan terhadap jentera pilihan raya yang menyumbang kepada kemenangannya, yang bukan sahaja daripada Barisan Nasional (BN), bahkan daripada PAS, Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional.
“Mereka bertungkus-lumus dalam tempoh 2 minggu ini untuk memastikan kemenangan BN. Walaupun hanya dicabar calon bebas, kami sentiasa berpegang kepada pesanan pimpinan atasan parti supaya tidak alpa atau memandang ringan kemampuan mereka.
“Semangat muafakat semua membuahkan hasil apabila BN memperoleh kemenangan dengan majoriti yang sangat besar dan ini membuktikan tiada yang mustahil jika kami semua bekerjasama,” katanya.