Mohd Puad Kata Geng UMNO Yang Dipecat, Digantung Mahu Kuasai Parti

 

KUALA LUMPUR: UMNO sedar akan tindakan beberapa bekas pemimpin parti itu yang telah dipecat dan yang sedang digantung ‘galak’ menyerang parti itu

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berpandangan bahawa mereka tidak berani menubuhkan parti politik yang baru dan hanya menumpang di ‘rumah orang lain’.

Contohnya Tan Sri Annuar Musa yang memilih untuk bersama Pas.

Mohd Puad mendakwa, mereka mahu meranapkan UMNO agar politik mereka boleh terus hidup.

“Ada yang tidak mahu menumpang. Mereka hanya mahu UMNO kalah teruk enam pilihan raya negeri (PRN).

“Negeri ini bukan milik UMNO. Mereka hanya mahu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi lemah. Senang mereka masuk balik dan menguasai UMNO,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar kelmarin yang menyatakan, UMNO dijangka kalah pada PRN di Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu manakala 50 peratus ahlinya akan meninggalkan parti.

Pada 27 Januari lalu, Khairy dan bekas Ketua UMNO Bahagian Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar dipecat daripada parti atas kesalahan melanggar disiplin parti semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Selain itu, lima pemimpin UMNO digantung keahlian selama enam tahun iaitu Datuk Seri Hishammuddin Hussein (Ahli Parlimen Sembrong), Datuk Maulizan Bujang (bekas Ketua UMNO Bahagian Tebrau), Datuk Seri Mohd Salim Sharif (bekas Ketua UMNO Bahagian Jempol) dan Shahril Sufian Hamdan (bekas Ketua Penerangan UMNO).

BBerkaitan

Latest articles