Mohd Na’im, Howard Berjumpa Malam Ini Selesai Kontroversi Petikan Ayat al-Quran

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar memaklumkan akan bertemu dengan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee Chuan How malam ini bagi menyelesaikan isu berkaitan videonya tafsiran ayat al-Quran.

Pertemuan itu bertujuan mendapatkan gambaran sebenar dan penjelasan secara harmoni.

“Ye, saya akan berjumpa dengan beliau (Howard) malam ini. Insya-Allah untuk bincang dari hati ke hati macam berdialog dengan kawan.

“Sambil itu kita ambil peluang terangkanlah macam mana kedudukan dalam Islam berkaitan dengan al-Quran dan sebagainya kepada beliau,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Santun Kasih Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Perumahan Awam Sri Kota, Bandar Tun Razak hari ini.

Terdahulu, Horward yang juga Ahli Jawatankuasa DAP mencetuskan kontroversi dan kritikan ramai apabila bertindak memetik ayat al-Quran berhubung konsep taat kepada ulil amri (pemerintah) dalam ayat 59 surah al-Maidah.

Susulan itu beberapa pihak mendakwa beliau cuba melakukan provokasi.

Minggu lalu, Howard tampil memohon maaf selepas selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

Beliau berkata, permohonan maaf itu dibuat selepas mengambil kira saranan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang menegurnya supaya tidak mengulangi perbuatan membuat tafsiran sendiri terhadap ayat al-Quran.

BBerkaitan

Latest articles