KUALA LUMPUR: Beberapa kenyataan dari penyandang kerusi Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang dilihat mesra UMNO-Barisan Nasional (BN) tidak disenangi PAS
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata Mohd Khairuddin tidak layak menasihatkan ahli PAS kerana dia bukan lagi ahli dan kini sebagai orang asing.
Reaksi Takiyuddin itu merujuk kepada saranan Mohd Khairuddin kepada ahli dan penyokong PAS untuk mengundi BN
pada PRU15 bagi mengelak kemenangan Pakatan Harapan (PH) yang menurutnya akan membawa mudarat lebih besar kepada negara.
Dalam pada itu Takiyuddin yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) dan penyandang kerusi Parlimen Kota Bharu turut membayangkan beliau akan bertanding semula dan mempertahankan kerusi di kawasan itu.
Beliau memaklumkan PAS dijangka bertanding di 60 kerusi Parlimen dengan menyasarkan menang 40 daripada kerusi berkenaan pada PRU15.
Senarai calon juga sudah dimuktamadkan dan akan diumumkan di peringkat negeri pada Rabu ini.
Menurutnya, PAS turut menampilkan 10 peratus calon wanita dan beberapa penyandang kerusi Parlimen turut direhatkan bagi memberi laluan kepada muka baharu.
PAS mempunyai 17 wakil dalam kerajaan termasuk menteri dan ‘backbencher’ yang semuanya memberi perkhidmatan terbaik .
“Dalam PAS apa sahaja keputusan dibuat pimpinan parti akan diterima baik oleh individu yang tidak tercalon atau direhatkan termasuk ada juga yang dipilih untuk dicalonkan menolak kerana bagi mereka jawatan itu satu amanah dan tanggungjawab besar dan bukan kemegahan, “katanya ketika menghadiri Program Tenaga Hijau Korporat Sokongan Agenda Pembangunan Ekonomi Hijau Negara di Suruhanjaya Tenaga, hari ini.