KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Modul Hadis 40 Imam Nawawi disifatkan tepat pada masanya dengan melihatkan cabaran semasa yang dihadapi orang Islam pada hari ini.
Sehubungan itu, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menegaskan pelaksanaannya tidak perlu dipolemikkan kerana modul ini diterapkan dalam lingkungan pelajar beragama Islam sahaja.
Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata tujuan Modul Hadis 40 Imam Nawawi adalah untuk memupuk amalan kesederhanaan yang dianjurkan sebagai nilai hidup dalam kalangan generasi muda Muslim.
Apatah lagi ia merangkumi penerapan nilai-nilai murni serta akhlak mulia berdasarkan sumber rujukan serta autoriti yang jelas daripada hadis-hadis yang sahih, sekaligus dapat membasmi fahaman
melampau dalam beragama daripada berleluasa di negara ini kerana ia tidak disandarkan pada apa-apa autoriti agama yang kukuh.
Dengan penerapan modul himpunan hadis 40 Imam Nawawi ini, ia secara langsung dapat menjadi kunci untuk memastikan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini dapat terus dipelihara.
Dalam masa sama, ABIM juga menegaskan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan Islam sebagai agama Persekutuan tidak hanya bersifat ritual.
Sebaliknya tafsiran kepada perutukan Perlembagaan tersebut adalah meluas mencakupi Islam sebagai agama dan cara hidup sempurna Muslim di Malaysia.
Justeru ABIM menggesa semua pihak berlapang dada serta menghormati inisiatif kerajaan khususnya dalam membawa pendidikan Islam yang sememangnya sejajar dengan nilai-nilai murni masyarakat kita.