Model Baharu BN: UMNO Negeri Sembilan Mahu Parti Keluar Zon Selesa, Dekati Pengundi Muda

SEREMBAN:UMNO Negeri Sembilan menyatakan sokongan penuh terhadap gagasan Model Baharu Barisan Nasional (BN) yang diketengahkan Pengerusi BN, YAB Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sebagai pendekatan realistik dan berani selari dengan perubahan landskap politik semasa negara.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Haji Jalaluddin Haji Alias, berkata di bawah kepimpinan Ahmad Zahid selaku Presiden UMNO dan Pengerusi BN, parti itu sebenarnya telah melalui proses ‘reset’ politik yang signifikan, termasuk membuat keputusan strategik yang sukar demi kepentingan rakyat dan kestabilan negara.

Menurut beliau, keputusan UMNO dan BN untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan bagi membentuk Kerajaan Perpaduan merupakan bukti kematangan dan kecerdikan kepimpinan, walaupun melibatkan kerjasama dengan bekas musuh politik tradisi.

“Langkah ini bukan pengorbanan prinsip, sebaliknya tindakan paling rendah risiko kepada rakyat bagi mengelakkan ketidaktentuan politik berpanjangan serta memastikan kelangsungan pentadbiran negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jalaluddin menegaskan bahawa kejayaan membentuk Kerajaan Perpaduan menunjukkan BN bersedia mengamalkan politik baharu yang lebih inklusif dan bertanggungjawab, selari dengan kehendak rakyat yang mahukan kestabilan serta pentadbiran berfungsi.

Namun demikian, beliau mengingatkan bahawa UMNO dan BN tidak boleh berada dalam zon selesa, sebaliknya perlu terus tampil segar, relevan dan terbuka kepada pendekatan politik baharu, khususnya dalam usaha mendekati pengundi muda serta pengundi atas pagar.

“Perubahan demografi menuntut strategi yang lebih dinamik dan berkesan. Naratif parti perlu dijelmakan secara konsisten berpaksikan hala tuju yang digariskan oleh Presiden UMNO,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa politik masa kini menuntut kebijaksanaan, keberanian menyesuaikan diri serta kesediaan untuk berubah demi memastikan masa depan parti, negara dan rakyat terus terpelihara.

UMNO Negeri Sembilan, katanya, komited untuk bergerak seiring dengan kepimpinan pusat bagi memastikan BN kekal relevan dan diyakini rakyat dalam menghadapi cabaran politik semasa serta persiapan menuju pilihan raya akan datang.

BBerkaitan

Latest articles