MN Mahu Elak Pertembungan Tiga Penjuru

Jawatankuasa Perundingan Muafakat Nasional (MN) yang bermesyuarat malam tadi membincangkan agenda memperkukuhkan hubungan UMNO dan PAS, selain berusaha mengelakkan pertandingan tiga penjuru dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad berkata, mesyuarat sepakat untuk tidak ada pertembungan antara PAS, UMNO dan BERSATU.

“Apa yang kita bincang tadi, kita sedang usahakan untuk tidak ada tiga penjuru.

“Mesyuarat tadi memang ada berbincang untuk memperkukuhkan MN.

“Yang penting MN, agenda dia kita dapat diteruskan,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Menara Dato’ Onn, malam tadi.

Mesyuarat itu berlangsung susulan pendirian UMNO untuk tidak bekerjasama dengan BERSATU, sebagaimana surat yang diutuskan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut Zahid, pendirian itu diambil setelah mengambil kira pandangan akar umbi.

Manakala PAS yang merupakan rakan gabungan di dalam MN, terus bekerjasama dengan BERSATU menerusi Perikatan Nasional (PN).

Kelmarin Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mengingatkan PAS untuk tidak membantu BERSATU jika berlaku pertembungan pada PRU15.

Dalam pada itu, Kamaruzaman berkata, isu pertembungan tiga parti Melayu Islam itu hanyalah perkara sampingan yang dibincangkan dalam mesyuarat bulanan gagasan itu.

“Tetapi motif kita ia adalah untuk memperkukuhkan MN, semuanya berjalan dengan baik.

“Malah kita sudah tetapkan jadual mesyuarat berikutnya,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles