MN Bakal Terkubur Dengan Sikap PAS, UMNO Perlu Bawa Haluan Sendiri

 

KUALA LUMPUR: “Status Muafakat Nasional (MN) bukan lagi tanggungjawab UMNO, tapi pada PAS yang kena tetapkan pendirian, kerana kesannya adalah rakyat akan menolak PAS yang dilihat sebagai parti yang tiada pendirian, hingga mereka dilabel ‘pelacur politik’.

Itu pandangan Pensyarah Kanan Politik dan Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berhubung pendirian tidak konsisten PAS terhadap Muafakat Nasional (MN) yang turut membabitkan UMNO.

Tegasnya PAS perlu menyatakan pendirian tegas untuk memilih Perikatan Nasional (PN) berbanding MN memandangkan hubungan tegang antara UMNO dan Bersatu, dan sebaliknya buat PAS dan Bersatu.

Mohd Azizuddin berkata kerjasama MN umpama tiada makna apabila PAS lebih memihak kepada Bersatu.

“Akar umbi UMNO juga semakin menolak PAS, dan pemimpin PAS pula mula mengkritik PAS menggunakan istilah yang agak kasar. Jika sudah tiada persefahaman, tinggalkanlah (MN),” katanya memetik BH.

Sementara itu, Felo Penyelidik Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata tindakan PAS menyertai PN menjadi punca kekeruhan hubungan antaranya dengan UMNO.

Malah beliau menyifatkan PAS sebagai tamak dan bertindak membelakangi UMNO selepas diberikan jawatan dalam kabinet dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) oleh bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebelum ini.

“Sepatutnya PAS berbincang dahulu dengan UMNO kerana hakikatnya, sukar untuk UMNO bekerjasama dengan BERSATU memandangkan mereka adalah musuh sejak pilihan raya umum (PRU) lalu.

“Ibaratnya, jika UMNO mahu bekerjasama dengan AMANAH, tentunya PAS kurang selesa. Hubungan PAS dan UMNO sekarang makin kabur dengan pemimpin berbalas kenyataan, termasuk ada yang melukakan hati akar umbi UMNO sekali gus sukar untuk ahli UMNO menerima PAS lagi,” katanya.

Malah Awang Azman juga tidak teragak-agak untuk menegaskan bahawa keretakan MN hari ini disebabkan oleh PAS yang tidak realistik dalam kerjasama dan mementingkan kedudukan.

“Puncanya lebih kepada sifat tamak, selain PAS tidak realistik apabila membuat tuntutan yang tidak munasabah dengan memohon jumlah kerusi yang banyak dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, sedangkan mereka tiada pengaruh kuat di negeri itu.

“Selain itu, PAS juga terlalu terhutang budi pada BERSATU yang memberikan kedudukan yang terbesar dalam sejarah politik PAS, malah lebih besar berbanding ketika menyertai BN pada 1970-an.

“UMNO dan BN perlu bergerak ke depan dan tinggalkan MN dan PAS yang seolah-olah masih meroyan dan cuba meletakkan diri mereka sebagai mangsa keadaan dengan menyalahkan UMNO,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles