KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Shabery Cheek memaklumkan mesyuarat khas MKT UMNO pada malam ini tidak menyentuh keperluan pemilihan parti khususnya bagi jawatan presiden dan timbalan presiden.
Sebaliknya mereka hanya membincangkan soal persiapan akhir dan perjalanan Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU2022), esok.
“Tidak dibincangkan (pemilihan). Ini adalah mesyuarat biasa MKT UMNO sebaik sahaja habis persidangan ketiga-tiga sayap, Wanita, Pemuda dan Puteri.
“Itu merupakan rutin parti, pertama sekali nak dengar laporan, nak tengok usul sama ada untuk dibawa ke PAU2022.
“Selalunya mesyuarat ini berlangsung dal jangka masa yang pendek mesyuarat khas sebelum PAU2022,.
“Tiada isu-isu atau topik baharu dibincangkan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Menara Dato Onn, malam ini.
Mesyuarat MKT UMNO dipengerusikan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Ibu Pejabat UMNO di Menara Dato Onn, kira-kira sejam 30 minit.
Mengulas lanjut Shabery juga memberitahu, mesyuarat itu juga tidak membincangkan tentang tindakan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Bung Mokhtar Radin yang menarik sokongan daripada pentadbiran Datuk Seri Hajiji Noor, baru-baru ini.
“Tidak dibincangkan,” jelasnya.
Sebaliknya, Shabery menambah mesyuarat khas itu hanya membincangkan soal usul-usul yang akan dibawa dan dibahaskan dalam PAU2022 kali ini.
“Yang lainnya mesyuarat ingin tahu apakah kandungan usul yang akan dibawa dalam PAU2022 esok.
“Mendengar laporan, persiapan, seperti tempat duduk, ini merupakan urusan-urusan house keeping yang biasa diadakan,” katanya lagi.