More

    MKT UMNO Bermesyuarat Malam Ini

    KUALA LUMPUR: Mesyuarat pertama Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO akan berlangsung pada malam ini di ibu pejabat parti itu di Menara Dato Onn.

    Perkara itu dimaklumkan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi dengan menambah, ia merupakan mesyuarat pertama selepas enam ahli parti itu dilantik menganggotai Jemaah Menteri dalam Kerajaan Perpaduan yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    “Ini MKT pertama selepas Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Datuk Seri Mohamad Hassan; Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Datuk Seri Azalina Othman Said; Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menyertai kabinet Anwar,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

    Dalam pada itu beliau menegaskan UMNO kekal berperanan sebagai penyemak dan penimbang kepad kerajaan meskipun menyertai Kerajaan Perpaduan.

    Dalam pada itu, Mohd Puad turut mendesak kerajaan menyegerakan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dan Tabung Haji.

    “Kerajaan perlu didesak mendakwa Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali; bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz; saman isu Batu Putih selain perbicaraan adil untuk bossku (Datuk Seri Najib Razak).

    “Perikatan Nasional (PN) tidak boleh bantah kerana ia sesuai dengan tagline PN ‘Prihatin, Bersih dan Stabil’,” ujarnya.

    Tegasnya lagi, PN mesti terbuka terhadap siasatan terperinci dakwaan salah kelola kewangan pada zaman Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri sebelum ini.

    “Ini bukan soal balas dendam atau salah guna kuasa. Ini penggiliran mencari kebenaran.”

    Berita Terkini

    Berita Berkaitan

    Related articles

    spot_img