MKLSB, Hydroshoppe Buat Laporan Polis Susulan Kerosakan Aset Menara Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR: Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. (MKLSB) dan Hydroshoppe Sdn. Bhd. hari ini membuat laporan polis berhubung insiden kerosakan dan kemusnahan terhadap aset milik syarikat yang berlaku semalam.

Pengarah Urusan MKLSB, Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh dalam satu kenyataan berkata, pihaknya berharap siasatan lanjut dapat dijalankan bagi mengenal pasti sama ada terdapat unsur khianat dalam kejadian itu.

“Tindakan memusnahkan atau dengan sengaja merosakkan harta milik MKLSB adalah perbuatan tidak beretika dan mencerminkan sikap tidak profesional yang tidak wajar ditunjukkan oleh mana-mana pihak,” tegas beliau.

Insiden tersebut berlaku susulan tindakan pihak Pesuruhjaya Tanah Persekutuan yang memasuki premis Menara Kuala Lumpur awal pagi Rabu lalu.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil sebelum ini menjelaskan, tindakan tersebut diambil setelah syarikat pengendali lama enggan mengosongkan premis walaupun konsesi mereka telah tamat.

Menurut Fahmi, syarikat baharu sepatutnya memulakan operasi rasmi pada 1 April lalu, namun kegagalan pihak lama berundur menyebabkan tindakan undang-undang terpaksa diambil.

“Pemeriksaan yang dilakukan oleh pegawai Kementerian Komunikasi turut mendapati bahawa keadaan Menara Kuala Lumpur sudah tidak sesuai dan tidak lagi selamat untuk dikunjungi orang awam,” katanya.

Abdul Hamid menegaskan bahawa MKLSB akan terus memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dan berharap semua pihak yang terlibat bertindak mengikut undang-undang dan profesionalisme.

“Kami menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menyiasat punca kejadian dan akan mengambil langkah sewajarnya untuk memastikan aset syarikat dilindungi,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles