KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) menetapkan bahawa hukum pendermaan dan pemindahan rahim adalah haram, kerana ia tidak mencapai tahap darurat yang membolehkan perkara diharamkan dilakukan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Muzakarah MKI yang diadakan pada 21 dan 22 Oktober 2014 selepas meneliti hasil kajian daripada kumpulan penyelidik Universiti Malaya (UM).
Menurut beliau, secara prinsipnya, keinginan untuk mendapatkan zuriat dianggap sebagai keperluan takmiliyyah iaitu pelengkap kehidupan dan bukan keperluan darurat yang membolehkan hukum asal sesuatu yang haram diharuskan.
“Dari sudut syarak, pendermaan rahim tidak memenuhi syarat darurat. Ia lebih kepada keperluan tahsiniyyah atau pelengkap kehidupan, bukan keperluan asas yang mendesak,” katanya dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen.
Beliau menjawab pertanyaan Dr Abdul Ghani Ahmad (PAS–Jerlun) berhubung status fatwa mengenai pemindahan rahim bagi pesakit sindrom Mayer-Rokitansky-Küster-Hauser (MRKH), iaitu wanita yang dilahirkan tanpa rahim.
Sebelum ini, laporan media menyebut wanita dengan sindrom MRKH berpotensi memiliki anak sendiri melalui prosedur pemindahan rahim, sekiranya cadangan itu mendapat kelulusan pihak berkuasa agama dan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.
Bagaimanapun, Mohd Na’im menjelaskan bahawa kerajaan masih meneliti isu ini dengan lebih mendalam, termasuk dari aspek syariah dan kesediaan teknologi serta kepakaran tempatan, bagi memastikan kemaslahatan pesakit terpelihara.
“Usaha sedang digerakkan bagi menilai semula isu ini mengikut perkembangan semasa dan pandangan pelbagai pihak termasuk Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya.










