MJTS Tegur Rex Tan Jangan Cuba Pecah Belahkan Perpaduan Kaum

KUALA LUMPUR: Persatuan Tenaga Pengajar Kewartawanan Malaysia (MJTS) menegaskan permohonan maaf terbuka dan peletakan jawatan bekas wartawan Free Malaysia Today (FMT), Rex Tan, tidak membebaskannya daripada tindakan undang-undang susulan kenyataannya yang kontroversi.

MJTS menekankan bahawa Malaysia adalah sebuah negara berdaulat yang mementingkan kepatuhan terhadap undang-undang, termasuk Perlembagaan Persekutuan.

Tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) merakam keterangan dan menahan Tan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 sewajarnya dihormati, kata persatuan itu.

Persatuan itu menjelaskan isu yang timbul bukan sekadar perbezaan pandangan dalam pelaporan atau sesi soal jawab, tetapi berkaitan pelabelan kaum tertentu khususnya orang Melayu sebagai nasionalisme eksklusif sayap kanan yang membentuk xenophobia.

Menurut MJTS, kenyataan sedemikian bercanggah dengan aspirasi negara yang mengamalkan kesederhanaan dan saling menghormati antara kaum.

“MJTS kesal dan membantah pelabelan oleh Rex Tan terhadap orang Melayu sebagai nasionalisme sayap kanan yang membentuk xenophobia terhadap masyarakat Cina di Malaysia,” tegasnya.

MJTS turut menolak dakwaan Tan bahawa permasalahan masyarakat Cina di Malaysia boleh disamakan dengan nasib rakyat Palestin di Israel, menegaskan kenyataan itu bersifat liar, berniat jahat, dan boleh memecahbelahkan perpaduan kaum di negara ini.

“Tiada penghapusan etnik, pengambilan tanah secara paksa, pengasingan kawasan kediaman, had penyertaan pekerjaan, atau pencatuan makanan dan air terhadap mana-mana kaum di Malaysia. Semua hak kaum dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan,” kata MJTS.

Persatuan itu menegaskan masyarakat perlu berhati-hati terhadap kenyataan bernada perkauman yang boleh menimbulkan kebencian antara kaum dan mengancam keharmonian negara.

BBerkaitan

Latest articles