SHAH ALAM: Soal jawatan bukan keutamaan lagi ketika ini, sebaliknya adalah misi untuk menang di Parlimen Shah Alam dengan merampas kerusi itu daripada penguasaan Pakatan Harapan (PH).
Demikian tekas calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Shah Alam, Isham Jalil.
Mengulas mengenai hasrat calon BN Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebagai Perdana Menteri, Isham menegaskan ia terpulang kepadanya kerana itu hak beliau untuk mendapatkan jawatan berkenaan.
“Bagi saya, tidak terfikir pasal Kabinet. KJ punya cita-cita itu dia punya pasallah ya. Saya tak fikir lagi dan fokus saya sekarang ialah nak selesai masalah rakyat di Shah Alam dulu,” katanya dalam dialog wacana di sini, malam tadi.
Menurut Isham, untuk menjadi Perdana Menteri bukan kuasa seseorang Ahli Parlimen, sebaliknya akan ditentukan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.
Malah, sepanjang beliau bekerja dengan Datuk Seri Najib Razak sebelum ini, beliau tidak pernah meminta apa-apa jawatan.
Dalam dialog itu juga, beliau menyatakan, sepanjang lapan hari berkempen, programnya semakin bertambah iaitu dari enam program pada hari pertama, kedua dan ketiga kini bertambah kepada 21 program sehari semalam.
“Bermula dengan enam program sehari pada hari pertama, kini masuk hari kelapan meningkat kepada 21 program sehari. Tak tahulah sehingga malam 18 November ini berapa puluh program saya kena ikut.
“Semua jadual program ini diatur oleh jentera UMNO Bahagian Shah Alam. Mereka bekerja keras untuk memastikan kemenangan saya dan saya kena ikutlah,” katanya.
Beliau meluangkan masa dalam dialog itu selama satu jam, sebelum meneruskan program walkabout di sekitar Shah Alam sehingga jam 12 tengah malam ini.