Misi Jadi Mangsa Cabul Tukang Cuci Warga Bangladesh

MELAKA: Seorang tukang cuci warga Bangladesh dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh semalam atas pertuduhan mencabul kehormatan seorang jururawat wanita di sebuah hospital bulan lalu.

Tertuduh, Bokhari Abu Boshir Mohammad, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sharda Sheinha Mohd Suleiman.

Mengikut pertuduhan pindaan, Bokhari didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan mangsa berusia 32 tahun di Dewan Bedah 4, Hospital Melaka kira-kira jam 8.30 malam pada 9 Jun lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Abdullah Mohd Rodzlad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan, Bokhari boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat, atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.

Dalam prosiding hari ini, pihak pendakwaan mencadangkan ikat jamin sebanyak RM20,000 dengan syarat tambahan.

Namun tertuduh merayu jumlah itu dikurangkan atas alasan dia perlu menanggung tujuh adik-beradik di Bangladesh dan hanya dia seorang yang bekerja.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan dua penjamin warga tempatan yang menetap di Melaka.

Bokhari turut dikenakan syarat tambahan untuk melapor diri setiap bulan di Balai Polis Bukit Baru, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan dilarang mengganggu mangsa.

Mahkamah kemudian menetapkan 18 Julai ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

BBerkaitan

Latest articles