Misi Freedom Flotilla Dipintas Lebih Awal Daripada Jangkaan

KUALA LUMPUR: Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) mengesahkan sembilan rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens To Gaza (TMTG) ditahan selepas konvoi kapal mereka dipintas tentera Israel, pagi tadi.

Pengerusi MyCARE, Datuk Seri Dr Kamal Nasaruddin Mustapha, berkata pihaknya terputus hubungan dengan delegasi Malaysia pada jam 10.03 pagi, sebelum kesemua sembilan kapal misi dilaporkan dipintas sekitar 10.50 pagi (waktu tempatan).

“Kapal pertama, Sun Bird di bawah misi TMTG ditahan pada kedudukan kira-kira 120 batu nautika, diikuti lapan kapal lain termasuk Conscience dan Umm Saad.

“Kami tidak menyangka pintasan berlaku seawal ini, kerana sebelum ini lazimnya ia berlaku dalam lingkungan 100 batu nautika,” katanya pada sidang media di ibu negara.

Daripada 150 peserta dari 25 negara, sembilan daripadanya merupakan rakyat Malaysia yang terlibat dalam misi gelombang ketiga flotilla berkenaan.

Mereka ialah Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali (Ketua Misi), Dr Fauziah Hassan, Dr Hafiz Sulaiman, Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi, wartawan Astro Awani Syafik Shukri Abdul Jalil, Prof Dr Mohd Afandi Salleh, Dr Noorhasyimah Ismail, Norsham Abu Bakar (Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE) serta seorang lagi peserta yang berada di atas kapal layar Umm Saad.

Lapan daripada mereka menaiki kapal utama Conscience, manakala seorang lagi berada di Umm Saad.

Kamal Nasaruddin mengecam keras tindakan ketenteraan Israel yang disifatkan sebagai provokatif dan jelas melanggar undang-undang antarabangsa.

“Kapal-kapal itu membawa bantuan kemanusiaan, termasuk bekalan perubatan untuk rakyat Gaza. Tindakan merampas kapal dan menahan sukarelawan ini adalah pencabulan terhadap hak asasi manusia dan maruah kemanusiaan sejagat,” tegasnya.

Beliau memaklumkan perkembangan terkini misi itu sudah disampaikan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Wisma Putra, serta keluarga semua sukarelawan terbabit.

“Yang penting sekarang adalah memastikan keluarga mendapat maklumat tepat. Kami percaya Perdana Menteri akan berusaha memastikan kesemua delegasi Malaysia dapat pulang dengan selamat,” katanya.

Menurut Kamal Nasaruddin lagi, pihaknya dimaklumkan beberapa dron dikesan berlegar berhampiran kapal misi sebelum ia didekati dan ditahan tentera Israel.

Katanya, semua peserta dijangka dibawa ke Pelabuhan Ashdod dalam tempoh 15 hingga 24 jam dari lokasi pintasan, dan pasukan peguam akan menunggu ketibaan mereka di sana.

Misi kemanusiaan FFC x TMTG kali ini melibatkan 10 kapal yang berlepas secara berperingkat dari Itali sejak 27 September lalu, membawa wartawan antarabangsa, ahli parlimen, pakar perubatan serta aktivis kemanusiaan dari seluruh dunia.

Kapal utama Conscience berlepas dari Porto Otranto, Itali, pada 30 September, menuju ke Gaza dengan membawa mesej keamanan dan solidariti untuk rakyat Palestin.

BBerkaitan

Latest articles