JOHOR BAHRU: Parti pimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilaporkan bakal bertanding di enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.
MUDA, pada mulanya meminta sepuluh kerusi untuk ditandingi ketika ia mengadakan rundingan bersama Pakatan Harapan (PH), yang dianggotai PKR, Amanah dan DAP.
Dilaporkan rundingan masih berjalan dan dijangka akan dimuktamadkan dalam minggu ini.
PH sudah bersedia memberi laluan di sekurang-kurangnya enam kerusi kepada MUDA.
Walau bagaimanapun, sekiranya rundingan mengenai baki empat kerusi buntu, maka PH juga mungkin bertembung dengan MUDA.
PKR dilaporkan sedia memberi laluan di Semarang dan Sri Medan, Amanah di Parit Raja dan Bukit Kepong, manakala DAP di Bukit Permai dan Machap.
Selain enam kerusi itu, MUDA juga berunding dengan PKR untuk Bukit Gambir, Kempas dan Larkin serta dengan Amanah untuk Puteri Wangsa, Bukit Pasir, Permas, Tenang dan Bukit Pasir.
MUDA dilaporkan mengharapkan PKR dan Amanah masing-masing akan memberi laluan di dua kerusi lagi.
PH sebelum ini telah bersetuju supaya PKR dan Amanah masing-masing bertanding di 20 kerusi dan DAP di 16 kerusi, termasuk mempertahankan kerusi yang menang sebelum ini.
Perhitungan itu bagaimanapun tidak membabitkan MUDA.
Bagaimanapun dilaporkan rundingan MUDA dengan PKR berlangsung sedikit dingin bagi mendapatkan dua kerusi, sekaligus tidak menolak kemungkinan kedua-dua parti akan bertembung sesama sendiri nanti.
Bagi PRN ini juga, MUDA dipercayai mahu menggunakan logo sendiri untuk bertanding walaupun akan bekerjasama dengan PH.